Pages

Friday, April 1, 2011

Kata-kata Indah dipetik Daripada 'Bahagiakan Hatimu'


Buku ini menceritakan mengenai kepentingan mempunyai hati yang suci. Hati yang suci mencerminkan keperibadian seseorang. Buku ini memuatkan sedikit informasi dan cara membersihkan hati bertepatan dengan kehendak Islam dan ajaran yang betul berpandukan Al-Quran.



Sangat menarik saya kira kerana dapat memuhasabah diri kita disamping menambah sedikit pengajaran dan iktibar daripada kisah-kisah nabi dan para sahabat.


"Sesungguhnyadalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota, dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa itulah hati"

direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.


Petikan-petikan ayat yang indah.

Sesungguhnya dunia berjalan perlahan dan akhirat semakin dekat. Kedua-duanya mempunyai penghuni masing-masing. Oleh yang demikian, jadilah penghuni akhirat dan jangan terlalu memuja keduniaan. Sesungguhnya, dunia tempat beramal bukan tempat perhitungan, sedangkan esok (akhirat) adalah tempat perhitungan bukan tempat berbuat kebajikan.



Mereka yang bersih hatinya menjadikan zikir sebagai amalan harian. Amalan berzikir membuatkan mereka sentiasa rindu kepada-Nya kerana dengan cara ini sahaja mereka memperoleh kenikmatan dan kebahagiaan hdup.



Umar bin Khattab pernah berkata.
Nilailah diri kamu sebelum diri kamu dinilai, dan timbanglah diri kamu sebelum diri kamu ditimbang. Apa yang kamu lakukan itu lebih mudah bagi kamu kemudian apabila kamu menilai diri sendiri sekarang. Dan bersedialah untuk sebuah pertunjukan besar hari itu (akhirat) kerana kamu semua akan dipertontonkan, tidak ada satu pun yang tersembunyi.


Hati yang jernih:
Mempunyai hati yang terang. Mudah menerima perintah Allah tanpa banyak alasan dan soalan. Seolah-olah ada cahaya yang menerangi dan terhindar daripada kegelapan. Sentiasa bersedia menerima kebenaran dan meninggalkan kesilapan. Mereka ini orang yang beriman, terhindar daripada perkara menyesatkan dan merosakkan iman.


Hati yang Gelap
Tidak mahu langsung beriman kepada Allah (kafir). Jauh daripada menerima hidayah dan petunjuk Allah. Hati terlalu sukar untuk menerima kebenaran dan masih berada dalam kesesatan. Sesungguhnya, hati mereka telah 'tertutup' serapat-rapatnya. Hati tertutup, telinganya tuli, penglihatannya kabur dan gelap serta memalingkan muka dan tidak mempedulikan mereka yang meminta mereka berbuat kebaikan.


Hati yang berkarat
Bagi mereka yang bersifat munafik. Pada mata kasarnya, beriman sebaliknya hatinya kufur pada perintah Allah. Sering melakukan perkara tidak berpandukan ajaran agama sebenar. Suka mengikut kehendak sendiri.
Lebih merelakan diri menjadi pengikut syaitan. Hati mereka ibarat besi yang sudah berkarat dan sukar dikembalikan kepada bentuk yang asal.


Hati yang ragu.
Hati separa beriman, yakni tidak sepenuhnya beriman kepada Allah. Masih ragu-ragu kerana hati belum mendapat cahaya petunjuk. Belum menerima kebenaran dan cenderung melakukan kejahatan. Hati masih tertutup dalam menerima kebenaran. Apabila hati cenderung melakukan kebaikan, mreka lakukan. Hati yang berbelah-bagi.



Tanda-tanda hati yang bersih
Hati yang sentiasa dekat dengan Allah. Mendapat petunjuk dan mengikuti jalan jalan kebenaran. Makanan membuatkan hati yang bersih adalah iman, ubat bagi hati adalah Al-Quran dan resepi bagi hati beriman ialah takwa. Mereka yang bersih hatinya, sentiasa meninggalkan kesenangan dunia dan cenderung kepada akhirat. Mereka menempatkan diri di akhirat seolah-olah mereka sebahagian penduduk di sana. Mereka menganggap dunia ini terlau asing.

Hati mereka sentiasa mengingati pemiliknya hingga kembali kepada Allah. Seperti mabuk cinta, sentiasa merindui kekasih mereka.

No comments:

Post a Comment